Friday, March 18, 2016

Sejarah Ringkas Kesultanan Negeri Terengganu

Pengasas Kesultanan Terengganu hari ini ialah Sultan Zainal Abidin 1. Baginda ialah putera Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Padang Saujana). Mengikut buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk (Raja Tua) di atas perintah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain menyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas takhta kerajaan Terengganu oleh Phra Nang Chau Yang, Raja Patani.
Mengikut Hikayat Johor Serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Patani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar tahun 1688. Ketika berada di Patani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Patani, Phra Nang Chau Yang.
Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708, berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin 1 tidak lama bersemayam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, Langgar dan Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (Kota Lama).
Sultan Zainal Abidin 1 digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur (Sultan Mansur I) pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah 1 berkahwin dengan Raja Bulang, anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor kedua. Berikutnya berkahwin pula dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur 1 telah menghabiskan empat belas tahun (1746 - 1760) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus (Yang DiPertuan Kelantan), putera Long Sulaiman ibni Long Bahar menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.

Sultan Mansur digantikan oleh putera baginda Sultan Zainal Abidin II (1794 - 1808). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Muhammad ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad (1808 - 1830), Sultan Abdul Rahman (1830), Sultan Daud (1830-1831), Sultan Mansur II (1831 - 1837), Sultan Muhammad (1837 - 1839), Baginda Omar (1839 - 1876). Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 menggantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan dari takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. Ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.

Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II (1876 - 1881). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881 - 1918). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu.

Sultan Zainal Abidin III 
Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II (1918 - 1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920 - 1942).

Menurut Warta Cahaya Timor No.38 bertarikh 29 September 1942, apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku Ali, yang dirujuk sebagai putera sulong baginda telah dilantik sebagai "Pemangku Sultan Sementara" oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942. Seterusnya Tengku Ali telah diberikan gelaran "Sultan" pada 30 September 1942 oleh Gabenor Jepun. Walau bagaimanapun perlantikan ini dinyatakan tidak menurut Undang-Undang Diri Bagi Negeri Terengganu 1911.
  • 1708 - 1733: Tun Zainal Abidin
  • 1733 - 1794: Sultan Mansur I
  • 1794 - 1808: Sultan Zainal Abidin II
  • 1808 - 1830: Sultan Ahmad
  • 1830: Sultan Abdul Rahman
  • 1830 - 1831: Sultan Daud
  • 1831 - 1837: Sultan Mansur II
  • 1837 - 1839: Sultan Muhammad
  • 1839 - 1876: Baginda Omar
  • 1876 - 1881: Sultan Ahmad Shah II
  • 1881 - 1918: Sultan Zainal Abidin III, putera Sultan Ahmad Shah II ;
  • 1918 - 1920: Sultan Muhammad Shah II
  • 1920 - 1942: Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
  • 1942 - 1945: Tengku Ali
  • 1945 - 1979: Sultan Ismail Nasiruddin Shah
  • 1979 - 1998: Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
  • 1998 - kini: Sultan Mizan Zainal Abidin
Tengku Sri Paduka Raja, Tengku Ismail diisythiarkan sebagai Sultan Terengganu pada 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Sultan Ismail Nasiruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke-6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail Nasiruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang DiPertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Yang DiPertuan Muda Tengku Mizan.

Sultan Mizan Zainal Abidin

No comments:

Post a Comment